Kata Alu-aluan Pengetua


Pengetua
Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Saya ucapkan ribuan terima kasih atas peluang yang diberikan ini. Terima kasih juga kepada "webmaster" laman web yang telah berusaha secara bersungguh-sungguh untuk membangunkan laman web ini. Tanpa kesungguhan, minat dan sifat amanah, pasti menghadapi pelbagai masalah. Namun, kita mampu melahirkan sesuatu yang bernilai dan berkesan.

Misi sekolah, ILMU MENJULANG KECEMERLANGAN. Kita semua maklum, bahawa ilmu memainkan peranan yang penting untuk membina masa depan seseorang. Tanpa ilmu yang penuh di dada, seseorang itu tidak dapat memainkan peranan yang lebih berkesan terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Menyedari tentang kepentingan ilmu ini, sekolah telah membentuk slogan ini untuk dihayati oleh semua pihak.

Sekolah sebagai sebuah institusi keilmuan di peringkat asas, perlu menjadikan ilmu sebagai warisan budaya yang kukuh dan sentiasa maju ke hadapan untuk menyambut segata cabaran yang mendatang. Apatah lagi, era masa kini adalah era ICT. Teknologi maklumat memainkan peranan yang amat meluas dalam kehidupan manusia sejagat. Ilmu dalam konteks perkembangan dan kemajuan akan terpinggir jika budaya ICT yang dicanangkan oleh kerajaan tidak diambil berat oleh masyarakat umum khususnya masyarakat pendidik dan para pelajar. Seiring dengan dasar kerajaan yang mahu menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa keilmuan dan sebagai satu cara untuk mempercepatkan penguasaan teknologi maklumat, haruslah disokong dan dinilai secara positif atas dasar keilmuan.

Saya yakin bahawa segala program yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.. Apa yang penting ialah semua pihak di dalam sekolah ini haruslah memainkan peranan yang lebih efektif untuk kecemerlangan pelajar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena. Guru-guru perlu bersatu, ber sama-sama memikul amanah sebagai pendidik yang bertanggungjawab terhadap profesionalisme Pendidikan. Komitmen yang padu akan menjanjikan kejayaan dan kepuasan untuk melihat bangsa Malaysia yang bertanggungjawab dan berbakti untuk Malaysia.

Kepada para pelajar pula, yakinlah bahawa sekolah adalah satu-satunya tempat untuk kita membuat perhitungan terhadap masa depan. Slogan "Kejayaan seseorang bermula dari rumah dan sekolah" perlulah dihayati. Patuh terhadap disiplin, hormat pada guru dan taat kepada ibu bapa merupakan resepi yang penting untuk kita bertindak membentuk masa depan. Belajarlah dengan rajin, tekun dan amanah. Sesungguhnya, tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Perjuangan itu pahit, tetapi hasilnya adalah buah yang manis bagi mereka yang menghadapi erti perjuangan.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada "webmaster" laman web Sekolah Menengah Pokok Sena yang telah mengorbankan waktu dan tenaga antuk merekacipta dan mengemaskini laman web ini. Dan kepada semua pelajar, anda adalah aset negara dan penerus teraju kepimpinan negara. Jangan biarkan diri anda hanyut bak buih-buih di lautan, hargailah jasa guru dan ibu bapa.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmtullahi Wabarakatuh.

 

 

(NOOR AINI BINTI MOHD NOOR)

Pengetua,

Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena